KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menegaskan tiada cadangan pertambahan bahagian pilihan raya Parlimen di Sarawak buat masa ini, termasuk yang dikaitkan dengan perbincangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, penegasan itu dibuat susulan laporan akhbar yang mendakwa berdasarkan “Dokumen cadangan persempadanan semula bahagian pilihan raya Sarawak”, jumlah bahagian pilihan raya Parlimen di negeri ini akan bertambah kepada jumlah tertentu.
“Dakwaan berkenaan adalah tidak tepat kerana tiada cadangan pertambahan bahagian pilihan raya Parlimen di Sarawak ketika ini yang melibatkan mana-mana bahagian pilihan raya seperti yang dilaporkan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, laporan berkenaan turut mengaitkan dakwaan pertambahan bahagian pilihan raya Parlimen dengan perbincangan MA63.
Tegas beliau, hanya syor Kajian Semula Persempadanan (KSP) Negeri Sarawak Ke-7 telah disediakan oleh SPR dan kini sedang dipamerkan secara rasmi kepada orang ramai.
Menurut Khairul, pameran syor berkenaan berlangsung mulai 1 September hingga 30 September 2026.
“Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya sentiasa merujuk maklumat mengenai KSP yang sahih dan tepat melalui portal atau kenyataan rasmi yang dikeluarkan SPR,” katanya.
