DARO: Sumbangan mesin jahit kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Daro mampu memperkukuhkan latihan kemahiran menjahit dan aktiviti kraf tangan dalam kalangan pelatih.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, kemudahan berkenaan dimanfaatkan bagi membantu pelatih mengembangkan bakat, kemahiran serta potensi diri.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangan Mesin Jahit kepada PPDK Daro, semalam.
Ahmad Johnie turut meluangkan masa meninjau fasiliti PPDK Daro serta melihat kemudahan dan ruang aktiviti yang disediakan bagi menyokong pembelajaran, latihan kemahiran dan perkembangan pelatih.
Kreativiti dan bakat seni pelatih PPDK Daro terserlah menerusi pelbagai hasil kraf tangan yang cantik, kemas dan dihasilkan dengan penuh ketelitian, sekali gus mencerminkan kemahiran serta potensi yang dimiliki oleh mereka.
