ASAJAYA: Kesatuan wanita memainkan peranan penting bagi memastikan gerak kerja kemasyarakatan dilaksanakan dengan tersusun dan berkesan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, malah kekuatan organisasi bergantung kepada keupayaan anggotanya untuk saling menyokong dan mengurus perbezaan pandangan secara matang.
“Kesatuan bukan bermaksud kita tidak boleh berbeza pandangan. Kesatuan bermaksud kita tahu menguruskan perbezaan tanpa merosakkan hubungan sesama sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Hari Keluarga Wanita Asajaya di Dewan Masyarakat Kampung Beliong, di sini, hari ini.
Rubiah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan berkata, wanita turut menggerakkan aktiviti kemasyarakatan dan memperkukuhkan kebajikan komuniti.
Program anjuran Persatuan Pergerakan Wanita Sarawak (PPWKS) dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Wanita Cawangan Asajaya itu menghimpunkan tujuh cawangan Zon Satu Asajaya.
Antara pengisian program ialah senaman, memasak dan sukaneka bagi mengeratkan hubungan serta kerjasama dalam kalangan anggota.
