Integriti tonggak pembangunan sukan, persediaan Sukan SEA 2027

KUCHING: Aspek integriti, tadbir urus dan ketelusan perlu menjadi sebahagian daripada asas pembangunan sukan, khususnya ketika Sarawak dan Malaysia membuat persediaan menghadapi Sukan SEA 2027.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penganjuran temasya sukan utama perlu mengutamakan tadbir urus, ketelusan serta perlindungan terhadap risiko integriti.

“Landskap sukan hari ini semakin kompleks dengan penganjuran temasya utama melibatkan pelaburan besar dan penggunaan teknologi canggih.

“Ia turut memerlukan penyertaan antarabangsa serta kerjasama antara kerajaan, organisasi sukan dan sektor swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika merasmikan Persidangan Integriti Sukan Kebangsaan Sarawak (SNSIC) 2026 di Pusat Konvensyen Hikmah Exchange (HEEC), di sini, hari ini.

Tegasnya, perkembangan itu turut membawa pelbagai risiko termasuk rasuah dan manipulasi pertandingan.

Selain itu, pertaruhan haram, pengubahan wang haram dan kegiatan jenayah lain juga boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi sukan serta pencapaian atlet, ujarnya.

Pada masa sama, jelasnya, kemudahan, kepakaran, pembangunan jurulatih dan sistem yang diwujudkan menerusi persediaan temasya berkenaan perlu memberi manfaat kepada sektor sukan dalam jangka panjang.

“Acara sukan utama mampu merancakkan aktiviti ekonomi dan menyokong sektor pelancongan.

“Ia turut mewujudkan pekerjaan serta membuka peluang kepada perniagaan dan usahawan tempatan,” katanya.

Mengulas Sukan SEA 2027, beliau berkata temasya itu membuka peluang untuk mempamerkan keupayaan sukan Sarawak.

Persidangan tiga hari itu dianjurkan dengan penglibatan Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) serta Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).

Antara lain, persidangan juga membincangkan risiko rasuah, manipulasi pertandingan, pertaruhan haram dan jenayah kewangan dalam sukan.

Turut dibincangkan ialah kerangka perundangan dan kawal selia serta amalan terbaik antarabangsa dalam melindungi integriti sukan.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, serta Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu. – NORAIDA ABDUL KASSIM / JIWA BAKTI