Persatuan diminta terus mohon MRP

KUCHING: Persatuan, kelab dan badan bukan kerajaan (NGO) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat yang belum menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dinasihat supaya terus memohon pada penggal akan datang.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, RM225,000 diagihkan kepada 33 kelab, persatuan dan NGO menerusi MRP Fasa Ketiga 2026.

Katanya, agihan itu merupakan terakhir sebelum DUN dibubarkan, namun pihak yang belum menerima peruntukan tidak seharusnya berputus asa untuk membuat permohonan pada masa akan datang.

“Jangan putus asa untuk memohon peruntukan ini kerana kita akan memberi apabila peruntukan MRP baharu diberikan kelak,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek MRP Fasa Ketiga Tahun 2026 ADUN N56 Dalat di lobi Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.

Menurutnya, peruntukan MRP membantu persatuan dan NGO melaksanakan pelbagai program serta aktiviti, selain menyokong kerja membina dan membaik pulih infrastruktur kecil untuk manfaat komuniti.

Pada tahun ini, DUN Dalat turut menyalurkan RM25,000 menerusi MRP Fasa Pertama dan RM83,000 bagi Fasa Kedua, menjadikan keseluruhan peruntukan yang diagihkan menerusi tiga fasa sebanyak RM333,000.