KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meneliti setiap representasi yang dikemukakan masyarakat berhubung Kajian Semula Persempadanan (KSP) bahagian pilihan raya di Sarawak.
Tegasnya, pandangan dan petisyen daripada masyarakat yang terlibat perlu diberikan perhatian sewajarnya dalam proses berkenaan.
“Saya berharap SPR akan meneliti petisyen yang dibuat oleh masyarakat.
“Saya juga mahu ia dibuat secara telus,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Hari Intergriti dan Inovasi Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
SPR sebelum ini membuka tempoh selama sebulan mulai 1 hingga 30 September 2026 untuk pihak berkaitan mengemukakan representasi sama ada bantahan atau sokongan terhadap syor kajian semula persempadanan berkenaan.
Pameran syor KSP kali ketujuh yang berakhir hari ini itu turut melibatkan cadangan penambahan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu di Sarawak. – NORAIDA ABDUL KASSIM / JIWA BAKTI
