Regata Sarawak, Festival Perahu Naga Antarabangsa kembali meriahkan Kuching

KUCHING: Festival Perahu Naga Antarabangsa Sarawak edisi ke-12 dan Regata Sarawak 2026 bakal kembali memeriahkan Kuching Waterfront bermula 23 Oktober hingga 1 November ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, bagi Festival Perahu Naga, ia akan berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober, melibatkan 80 pasukan dari 22 negara dengan kira-kira 2,450 peserta.

“Antara negara yang mengambil bahagian ialah Australia, Brunei, China, Thailand, Filipina, Indonesia, Jepun, Singapura dan Malaysia, manakala Liechtenstein, Vietnam, Kemboja, Argentina, Fiji, Moldova dan Mexico menyertai buat pertama kali.

“Jumlah keseluruhan hadiah wang tunai festival tahun ini meningkat kepada RM200,000 berbanding RM100,000 tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Jawatankuasa Induk Regata Sarawak dan majlis penyerahan cek replika penajaan di Baitulmakmur II,di sini, hari ini.

Abdul Karim turut memaklumkan, pada tahun ini, dua kategori baharu turut diperkenalkan iaitu Malaysia Tertutup Lelaki 12 Pendayung dan Antarabangsa Senior B Terbuka 12 Pendayung.

Sementara itu, jelasnya, Regata Sarawak
pula akan berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November dengan 18 acara perlumbaan bagi kategori tempatan dan terbuka serta menawarkan keseluruhan hadiah wang tunai RM378,000.

Kemuncak pertandingan adalah pada 1 November dengan perebutan Piala Raja Sungai, dengan juara kategori tempatan membawa pulang piala pusingan serta wang tunai RM30,000.

Acara itu dijadual disaksikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Pada tahun ini, Regata Sarawak – Festival Tebingan Kuching 2026 menerima penajaan keseluruhan sebanyak RM 985,000.00 dengan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) masing – masing menjadi penyumbang kategori Emas dengan tajaan sebanyak RM 300,000.00.

Antara penyumbang lain adalah Sarawak Energy Berhad (SEB) RM 100,000.00, ENEOS Xplora Malaysia Berhad, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Petra Energy Berhad, Sarawak Plantation Berhad dan Ta Ann Holdings Berhad masing – masing menyumbang RM 50,000.00.

Lain lain penyumbang adalah SARAworks Sdn. Bhd RM 20,000.00, KTS Mutual Sdn. Bhd RM 10,000.00 dan Borneo Housing Mortgage Finance Berhad RM5,000.00. – NORAIDA ABDUL KASSIM/ JIWA BAKTI