MUKAH: Kekayaan kawasan paya, bakau dan tanah gambut di Mukah berpotensi menjadi sumber pendapatan baharu menerusi ekonomi karbon.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perubahan iklim dan usaha global mengurangkan pelepasan karbon membuka peluang ekonomi baharu yang boleh dimanfaatkan Sarawak, termasuk Mukah.
Menurutnya, kawasan bakau mempunyai keupayaan menyerap karbon yang tinggi, manakala Mukah mempunyai kawasan paya serta pesisir pantai yang luas dan wajar dipelihara sebagai aset ekonomi Sarawak.
“Ekonomi kita mesti berubah. Kita pertahankan kekayaan kita kerana hari ini sudah ada apa yang disebut sebagai perdagangan karbon,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Premier Sarawak bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Bahagian Mukah sempena Program Sarawakku Sayang di sini, malam ini.
Abang Johari berkata, Sarawak juga telah menyediakan kerangka perundangan berkaitan pengurusan karbon bagi membolehkan negeri itu meneroka peluang dalam ekonomi baharu berkenaan.
“Hasil yang diperoleh daripada ekonomi baharu itu akan dikembalikan kepada rakyat melalui pelaburan dalam pembangunan negeri, termasuk infrastruktur di Mukah,” ujarnya.
Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak terus memperkukuhkan kemudahan asas di Mukah, termasuk bekalan air menerusi pembangunan Loji Rawatan Air Basong bernilai kira-kira RM240 juta.
Menurutnya, pembangunan jaringan jalan raya dan jambatan yang menghubungkan Mukah dengan kawasan lain turut membuka lebih banyak peluang ekonomi serta meningkatkan mobiliti penduduk.
“Pendekatan pembangunan Mukah perlu bergerak seiring perubahan teknologi dan ekonomi global, selain meneruskan asas pembangunan yang dibentuk kepimpinan terdahulu,” katanya.
Abang Johari berkata, hasil pertumbuhan ekonomi Sarawak akan terus dilaburkan semula untuk manfaat rakyat, khususnya menerusi pembangunan infrastruktur, pendidikan dan peningkatan taraf hidup.
