Klinik Kesihatan Debak bakal dibina baharu

DEBAK: Klinik Kesihatan Debak bakal digantikan dengan bangunan baharu yang lebih moden dan lengkap menerusi projek bernilai RM11 juta.

Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam, berkata projek berkenaan dibiayai Kerajaan Sarawak merangkumi penggantian bangunan Klinik Kesihatan Debak serta pembinaan Klinik Pergigian Debak.

Menurutnya, peruntukan projek disalurkan Kerajaan Sarawak menerusi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) bagi meningkatkan kemudahan kesihatan untuk penduduk.

“Bangunan lama Klinik Kesihatan Debak yang dibina sejak 1970-an akan digantikan dengan bangunan konkrit dua tingkat yang lebih moden dan selesa.

“Bangunan baharu ini akan menempatkan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (MCH), Klinik Pergigian, pejabat, bilik mesyuarat serta pelbagai kemudahan kesihatan lain.

“Turut disediakan ialah Unit Hemodialisis, Unit X-ray dan wad bersalin yang lebih selesa bagi memenuhi keperluan penduduk Debak dan kawasan sekitarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Klinik Kesihatan Debak di sini, hari ini.

Projek berkenaan dijangka mengambil masa 20 bulan untuk disiapkan dengan kerja pembinaan bermula pada Julai 2026.

Sepanjang tempoh pembinaan, operasi Unit Kesihatan Ibu dan Anak (MCH) akan dipindahkan sementara ke bangunan di belakang Klinik Kesihatan Debak yang telah ditambah baik oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS).

Turut hadir, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu; Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas; dan Pegawai Kesihatan Bahagian Betong, Dr Haizam Narawi.