Loji Rawatan Air Basong fasa ketiga dahului jadual

MUKAH: Projek pembinaan Loji Rawatan Air Basong Fasa Ketiga Bahagian Mukah mendahului jadual dan dijangka siap sepenuhnya pada September 2028, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi.

Menurutnya, projek bernilai RM243.98 juta yang dimulakan September 2025 itu dibiayai sepenuhnya Kerajaan Sarawak dan merangkumi pembinaan loji rawatan air baharu berkapasiti 60 juta liter sehari (MLD) serta pemasangan paip air mentah sepanjang 18 kilometer (km) berdiameter 1,000 milimeter (mm).

“Apabila siap, projek ini akan meningkatkan kapasiti keseluruhan sistem bekalan air di Mukah dan kawasan sekitarnya, selain membantu menangani isu bekalan air yang dihadapi penduduk,” katanya ketika berucap pada lawatan ke Loji Rawatan Air Basong, di sini, hari ini.

Julaihi berkata, Bahagian Mukah ketika ini mempunyai 11 loji rawatan air, dengan Loji Rawatan Air Basong mencatatkan kapasiti pengeluaran tertinggi, iaitu 60 MLD.

Katanya, kapasiti berkenaan masih dilihat mencukupi berdasarkan keperluan semasa, namun kerajaan perlu mengambil kira peningkatan permintaan pada masa akan datang susulan pertumbuhan penduduk serta pembangunan di bahagian berkenaan.

“Sehubungan itu, kerajaan mempunyai perancangan pembangunan berskala besar yang sedang dan akan dilaksanakan, termasuk projek infrastruktur bagi memastikan keperluan bekalan air dapat menyokong perkembangan Mukah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak terus memantau pelaksanaan projek bagi memastikan kerja pembinaan berjalan mengikut perancangan dan tempoh ditetapkan.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine.