KUCHING: Sarawak perlu bergerak ke fasa seterusnya dalam pembangunan ekonomi digital dengan memastikan kemajuan teknologi bukan sekadar tertumpu kepada pembinaan infrastruktur.
,Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, sebaliknya mampu diterjemahkan kepada nilai ekonomi, pelaburan, pekerjaan berkualiti dan peluang kepada rakyat.
Katanya, selepas memperkukuhkan asas termasuk aspek kesalinghubungan dan infrastruktur digital, tumpuan kini beralih kepada usaha memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan produktiviti perniagaan serta daya saing industri.
Menurutnya, transformasi digital juga perlu menyokong aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) untuk menjadikan Sarawak sebuah wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Persoalannya sekarang apa yang mampu kita cipta daripadanya.
“Kita perlu mengubah infrastruktur kepada peluang, penyelidikan kepada aplikasi, inovasi kepada perniagaan dan pelaburan serta keupayaan teknologi kepada hasil ekonomi dan sosial untuk Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan pada Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2026 (IDECS26) Kesembilan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Persidangan IDECS 2026 yang berlangsung selama dua hari dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Mengulas lanjut, Julaihi berkata, Sarawak kini membangunkan keupayaan dalam beberapa bidang strategik.
Antaranya termasuk kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, kesalinghubungan termaju, infrastruktur pintar, tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi angkasa.
“Pembangunan keupayaan itu perlu disokong kerjasama erat antara kerajaan, industri, universiti, penyelidik, pelabur dan usahawan.
“Ini bagi memastikan hasil penyelidikan serta inovasi dapatdikomersialkan,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Sarawak turut melihat ekonomi angkasa antara bidang baharu yang berpotensi, termasuk penggunaan teknologi satelit bagi komunikasi, pemantauan alam sekitar, pengurusan sumber dan perancangan.
Sarawak juga ujarnya, merancang melancarkan satelit nano pertamanya menjelang 2030 sebagai sebahagian usaha membangunkan keupayaan berasaskan teknologi angkasa.- NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI
