Pindaan Ordinan Perpustakaan pelihara warisan Sarawak

KUCHING: Pindaan Ordinan Perpustakaan Negeri Sarawak 2026 merupakan langkah penting memperkukuhkan tadbir urus perpustakaan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad.

Pada masa sama, turut memodenkan pengurusan rekod serta memastikan khazanah sejarah negeri terus terpelihara untuk generasi akan datang, termasuk melalui pewujudan arkib peringatan.

Pindaan itu katanya, mencerminkan kesungguhan Kerajaan Sarawak memperkasakan institusi ilmu agar terus berfungsi secara cekap, progresif dan seiring dengan perkembangan teknologi masa kini.

Antara perubahan utama ialah penambahbaikan struktur pentadbiran perpustakaan menerusi penyelarasan kuasa antara Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, menteri yang bertanggungjawab dan Lembaga Pengurusan.

“Saya melihat langkah ini mampu memperluaskan akses kepada literasi digital dan kemudahan pembelajaran, selaras dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).

“Ini termasuk usaha membangunkan Perpustakaan, Pusat Digital dan Inovasi di kawasan saya,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 pada pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, semalam.

Beliau berkata, pengenalan konsep arkib peringatan turut membuka ruang untuk pemeliharaan rekod sejarah, sumbangan tokoh tempatan dan peristiwa penting.

Katanya, ia membentuk identiti masyarakat berbilang kaum di Sarawak, termasuk sejarah perjuangan dan pembangunan negeri serta institusi DUN Sarawak sekali gus meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti.

“Malah, pengenalan Seksyen 29A yang membolehkan jadual ordinan dipinda melalui pemberitahuan dalam Warta Kerajaan Negeri turut memberikan fleksibiliti untuk menyesuaikan kerangka perundangan dengan perubahan semasa,” tambahnya.