KUCHING: Sarawak merancang membangunkan modul pendidikan alam sekitar untuk sekolah dan komuniti berasaskan pengetahuan antarabangsa serta pengalaman tempatan.
Timbalan Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, modul itu akan dibangunkan melalui kerjasama Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), institusi akademik serta rakan komuniti.
“Modul ini perlu menghubungkan pembelajaran dengan kehidupan seharian bagi membantu golongan muda membina pengetahuan, kemahiran dan keyakinan untuk menjaga alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Pendidikan Alam Sekitar 2026 bertemakan Memperkasa Generasi Masa Depan Melalui Literasi Alam Sekitar di sini, hari ini.
Katanya, modul ini juga perlu disesuaikan dengan keperluan sekolah dan komuniti termasuk di luar bandar dan pedalaman yang mempunyai kemudahan, akses internet serta sumber pembelajaran terhad.
Menurut beliau, pembelajaran melalui pengalaman seperti memerhati pengurusan sisa di sekolah dan penggunaan air serta tenaga dapat membantu pelajar mengaitkan pengetahuan alam sekitar dengan kehidupan harian.
Beliau berharap resolusi persidangan itu diterjemahkan kepada tindakan melalui kerjasama berterusan antara agensi kerajaan, institusi pendidikan, sektor swasta dan komuniti bagi membentuk generasi yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
