LIMBANG: Kerajaan Persekutuan membelanjakan lebih RM200 juta setiap tahun bagi memperkukuh perkhidmatan udara luar bandar (RAS) khususnya di Sarawak.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata ini kerana penduduk di pedalaman bergantung kepada perkhidmatan RAS.
“Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan komited memastikan RAS ini dapat diperkukuhkan. Setiap tahun kita membelanjakan lebih RM200 juta untuk pastikan RAS beroperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pecah Tanah Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Limbang di tapak projek itu berhampiran Masjid Jannatul Firdaus, di sini, hari ini.
Anthony berkata, syarikat penerbangan yang berminat menambah kekerapan penerbangan atau menyediakan laluan terus ke destinasi baharu amat dialu-alukan.
Beliau juga menegaskan, kerajaan akan terus memberi perhatian kepada usaha menambah baik perhubungan udara di Sarawak.
Ini khususnya bagi memastikan penduduk di luar bandar dan pedalaman tidak terpinggir daripada kemudahan pengangkutan berkenaan.
