LIMBANG: Syarikat penerbangan dan bas ekspres digalak menambah perkhidmatan bagi memudahkan rakyat Sarawak pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU DUN) Sarawak Ke-13.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, langkah itu penting memandangkan permintaan untuk perkhidmatan mereka akan meningkat mendadak menjelang pilihan raya ini.
Beliau yakin selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh pilihan raya itu, syarikat-syarikat penerbangan akan membuat perancangan menambah kapasiti dan penerbangan manakala syarikat bas ekspres pula menambah trip perjalanan.
“Untuk syarikat-syarikat bas ekspres pula di dalam Sarawak, sudah tentu Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) akan memberikan kerjasama untuk meluluskan permit-permit sementara untuk menambah trip,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pecah Tanah Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Limbang di tapak projek itu berhampiran Masjid Jannatul Firdaus, di sini, hari ini.
Loke berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM28.7 juta bagi pelaksanaan Projek Pembinaan Bangunan Baharu JPJ Cawangan Limbang yang dilaksanakan oleh Samado Sdn. Bhd yang bermula 1 September lalu dan dijadual siap pada 31 Ogos 2028.
Projek merangkumi bangunan pejabat baharu, ruang kaunter perkhidmatan, kantin, kemudahan pemeriksaan kenderaan berbumbung, kandang sita berbumbung serta tiga blok kuarters kediaman bagi warga kerja JPJ Limbang.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, Ketua Pengarah JPJ, Dato’ Aedy Fadly Ramli dan Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi.
