Projek mega Sarawak jadi kenyataan

SIMANGGANG: Kritikan pembangkang yang sebelum ini menyifatkan pengumuman pembinaan jambatan dan projek mega di Sarawak sebagai sekadar ‘air liur’ atau janji kosong akhirnya terjawab apabila satu demi satu projek pembangunan berjaya direalisasikan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pembukaan Jambatan Batang Lupar 2 kepada orang awam hari ini membuktikan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukan sekadar menabur janji retorik, sebaliknya komited menterjemahkan perancangan pembangunan kepada realiti.

“Dahulu apabila kita mengumumkan pembinaan jambatan dan mega projek di Sarawak, pembangkang selalu menuduh itu hanya air liur.

“Sekarang, air liur itu tidak melimpah. GPS bukan membuat janji retorik kepada rakyat, tetapi kita melaksanakan apa yang telah dirancang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Prapelancaran Jambatan Batang Lupar 2 yang bernilai RM223.633 juta di sini, hari ini.

Menurutnya, pembukaan jambatan sepanjang 870 meter (m) itu merupakan satu lagi detik bersejarah buat Sri Aman, selain menjadi pemangkin kepada pembangunan rangkaian Jalan Utama Kedua Sarawak.

Lebih membanggakan, jambatan berkenaan merupakan jambatan ke-14 yang berjaya disiapkan daripada keseluruhan 22 jambatan yang dirancang untuk dibina di seluruh Sarawak.

Katanya, pembukaan Jambatan Batang Paloh kepada orang awam semalam turut memperlihatkan kemajuan berterusan pelaksanaan agenda pembangunan infrastruktur negeri.

Uggah turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas usaha dan kebijaksanaan mendapatkan sumber pembiayaan bagi merealisasikan pembinaan 22 jambatan dengan kos keseluruhan hampir RM7 bilion menggunakan dana Sarawak sendiri.

“Ini satu kebanggaan rakyat Sarawak. Kita harus berterima kasih kepada Premier kerana dengan kebijaksanaan dan usaha beliau, kita mampu mendapatkan dana untuk membina 22 jambatan ini.

“Ini merupakan dasar beliau untuk memastikan infrastruktur di seluruh Sarawak, khususnya di luar bandar, terus diperkasakan bagi membolehkan aktiviti ekonomi dan kehidupan rakyat berjalan dengan lebih baik,” katanya.

Jambatan Batang Lupar 2 dibina menggunakan reka bentuk cable-stayed atau kabel penahan, dengan dua menara utama setinggi 145.5 meter yang menjadikannya antara struktur jambatan ikonik di negeri ini.

Projek berkenaan turut mempunyai rentang utama sepanjang 450 meter serta laluan pelayaran selebar 200 meter pada ketinggian 23 meter bagi membolehkan pergerakan kapal di Batang Lupar.

Selain struktur utama, projek itu merangkumi pembinaan jalan akses sepanjang kira-kira 2.08 kilometer, lengkap dengan sistem saliran, papan tanda dan kemudahan keselamatan jalan raya mengikut piawaian JKR R5.

Uggah menjelaskan, Jambatan Batang Lupar 2 merupakan sebahagian daripada jajaran Jalan Utama Kedua Sarawak, manakala Jambatan Batang Lupar 1 pula menjadi komponen penting Jalan Pesisir Sarawak.

Kedua-dua jambatan itu turut mengangkat nama Sarawak menerusi pencapaian infrastruktur yang membanggakan apabila Jambatan Batang Lupar 1 sepanjang 4.844 kilometer merentasi sungai terpanjang di Malaysia, manakala Jambatan Batang Lupar 2 menampilkan menara jambatan kabel setinggi 145.5 meter.

Dari sudut ekonomi, pembukaan Jambatan Batang Lupar 2 dijangka memberikan impak besar kepada hubungan antara Betong dan Sri Aman apabila perjalanan melalui laluan berkenaan kini dapat dipendekkan kepada kira-kira 25 minit.

Malah, akses lebih mudah itu turut membuka peluang baharu kepada pembangunan sektor pertanian, perniagaan dan pelancongan, khususnya di kawasan Spaoh dan sekitarnya.

Uggah berkata, perjalanan dari Jambatan Batang Lupar 2 ke Stolport Bebuling, Spaoh, mengambil masa kira-kira 30 minit, sekali gus memberikan akses lebih baik kepada produk serta tarikan pelancongan tempatan.

Beliau turut menyentuh potensi Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) Spaoh yang bakal memainkan peranan penting dalam mengumpul, menyediakan dan membungkus hasil makanan serta produk pertanian dari kawasan berkenaan.

Katanya, beliau yakin produk yang diproses di pusat itu berpotensi dipasarkan terus ke Kuching, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada pengusaha tempatan untuk mengembangkan perniagaan.

Pada masa sama, kemudahan jaringan jalan raya yang semakin baik dijangka merancakkan sektor pelancongan dengan memudahkan pengunjung meneroka pelbagai produk dan destinasi menarik di kawasan Spaoh, Betong serta Sri Aman.

Beliau menegaskan, pembangunan 22 jambatan mega di Sarawak merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang Premier Sarawak yang telah dirangka sejak kira-kira 10 tahun lalu.

“Ini merupakan impian Premier yang kini menjadi kenyataan. Dengan dana Sarawak sendiri, kita dapat membina infrastruktur yang akan membawa manfaat besar kepada rakyat untuk jangka masa panjang,” katanya.