KUCHING: Seramai 78 artis dan peserta menjayakan persembahan khas Nadi Borneo bertemakan ‘Dari Sungai Menyapa Dunia’ sempena Festival Gendang Sarawak 2026 di Tebingan Kuching, malam tadi.
Persembahan itu menggabungkan elemen seni, muzik dan kebudayaan yang mencerminkan kekayaan warisan serta identiti masyarakat di Borneo.
Selain itu, persembahan Nadi Borneo antara tarikan festival menerusi gabungan pelbagai elemen seni dan kebudayaan dalam satu persembahan khas.
Festival berkenaan turut menampilkan Orkestra Tradisional Malaysia dari Istana Budaya, Andrewson Ngalai, Rodriguez Wan, Haziq Rosebi dan Syura.
Antara kumpulan lain yang mengambil bahagian ialah Kumpulan Kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kumpulan Kesuma Tari, Persatuan Silat Banteng Betawi serta Tyng Tyng Academy.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menghadiri perasmian festival berkenaan.
Penganjuran bersama MOTAC dan MTCP itu turut diserikan dengan Festival Kraf Borneo 2026 serta Regata Sarawak 2026, menawarkan pelbagai tarikan seni, budaya, kraf dan warisan tradisional kepada pengunjung.
