Lebih 800,000 pertambahan pemilih warnai PRU DUN Sarawak

KUCHING: Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13 bakal menyaksikan pertambahan 806,767 pemilih berbanding pilihan raya negeri pada 2021.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan pengundi berdaftar meningkat kepada 2,058,781 orang.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dato’ Sri Ramlan Harun berkata, peningkatan kira-kira 64.4 peratus itu berlaku susulan penurunan umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun serta pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik sejak Disember 2021.

“Daripada jumlah keseluruhan pemilih, seramai 2,034,373 merupakan pengundi biasa, manakala 13,575 terdiri daripada anggota tentera serta pasangan dan 10,833 lagi anggota polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Writ dan Watikah Pelantikan Pegawai Pengurus PRU Sarawak ke-13, di sini, hari ini.

Menurutnya, daftar pemilih yang dikemas kini sehingga 25 Oktober lalu akan digunakan bagi pilihan raya berkenaan, manakala pengundi boleh membuat semakan pusat mengundi, saluran dan nombor bilangan masing-masing menerusi portal atau aplikasi MySPR Semak mulai 23 November ini.

Katanya, semakan turut boleh dibuat melalui talian SPR di 03-8892 7218 yang beroperasi setiap hari dari jam 9 pagi hingga 8 malam, manakala daftar pemilih berkenaan dijadual mula dijual pada 23 November.

“Sementara itu, Daftar Pemilih Tambahan September 2026 merekodkan 44,987 pemilih baharu yang didaftarkan secara automatik, selain 21,720 pemilih bertukar bahagian pilihan raya dan 4,805 lagi mengalami perubahan kategori atau status pemilih,” katanya.

PRU DUN Sarawak ke-13 melibatkan pertandingan bagi 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 28 November, pengundian awal pada 8 Disember dan hari pengundian pada 12 Disember ini.