Pemimpin luar tidak perlu campur tangan PRU DUN Sarawak

KUCHING: Pemimpin parti politik dari Semenanjung Malaysia disaran supaya tidak campur tangan dalam kempen Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13.

Ketua Penerangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sebaliknya mereka harus menyerahkan kepada rakyat negeri ini untuk menentukan kerajaan pilihan mereka.

Menurutnya, pilihan raya negeri seharusnya ditentukan oleh rakyat Sarawak tanpa penglibatan berlebihan pemimpin politik luar.

“GPS selama ini tidak menghantar pasukan berkempen dalam pilihan raya negeri di Semenanjung termasuk Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Jadi, saya berpendapat pendekatan sama wajar diamalkan oleh parti politik dari Semenanjung bagi menghormati hak rakyat Sarawak menentukan kepimpinan negeri sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sebagai mengulas pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung tarikh PRU DUN Ke-13 Sarawak akan datang.

Bagaimanapun, Abdul Karim menegaskan, saranan tersebut bukan bermakna pemimpin politik Semenanjung dilarang datang berkempen kerana Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.

Beliau turut mengingatkan bahawa persaingan politik tidak seharusnya menjejaskan hubungan kerjasama antara GPS dengan parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Tidak wajar sekiranya parti berkenaan berkempen menentang GPS di Sarawak.

“Tetapi kemudian mengharapkan sokongan GPS bagi membentuk Kerajaan Persekutuan selepas pilihan raya Parlimen,” ujarnya

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Karim berkata, keputusan muktamad mengenai pemilihan calon GPS terletak pada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku Pengerusi GPS dan Presiden Parti PBB.

Katanya, sebahagian besar calon Parti PBB dipercayai sudah dikenal pasti, namun beberapa kawasan mungkin menyaksikan pertukaran penyandang atau penampilan muka baharu.

Beliau menjelaskan, perubahan calon tidak semestinya berpunca daripada kelemahan penyandang, sebaliknya turut mengambil kira keperluan menyediakan pelapis kepimpinan untuk masa depan Sarawak.

Menurutnya, proses melahirkan pemimpin berpengalaman memerlukan tempoh panjang, malah boleh mengambil masa antara 15 hingga 20 tahun.

Selain itu, tegasnya, pemilihan calon turut mengambil kira tahap kesihatan, latar belakang peribadi, pendidikan, rekod undang-undang dan kedudukan kewangan calon.

Langkah ini jelasnya, bagi memastikan mereka mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Abdul Karim turut mengingatkan individu yang aktif melobi atau memperkenalkan diri melalui media sosial bahawa tindakan tersebut tidak bermakna mereka telah dipilih sebagai calon GPS.

“Saya berharap semua pihak menghormati keputusan pucuk pimpinan dan memberikan sokongan kepada calon yang menerima watikah pencalonan rasmi,” ujarnya