SEMOP: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.42 Semop Datuk Abdullah Saidol, mendapatkan restu dan doa kedua-dua ibu bapanya menjelang proses penamaan calon Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) itu berkata, kunjungan berkenaan merupakan amalan yang tidak pernah ditinggalkannya setiap kali menjelang pilihan raya sejak mula bertanding pada 2011.
Dalam kunjungan itu, Abdullah dilihat bersalaman dan memeluk ibunya yang berusia 81 tahun sebelum mendapatkan restu bapanya, seorang pesara guru berusia 88 tahun.
Menurutnya, doa dan restu ibu bapa menjadi sumber kekuatan serta semangat sebelum menghadapi detik penting dalam perjalanan politiknya.
Beliau turut berkongsi pesanan ibunya yang sentiasa mengingatkan anak-anak supaya menjaga kesihatan, bersikap jujur dan tidak ‘ngakal’ atau menipu.
Pesanan tersebut terus dijadikan pedoman oleh Abdullah sepanjang penglibatannya dalam arena politik, selain menjadi peringatan untuk sentiasa mengutamakan kejujuran dalam menjalankan tanggungjawab.
Abdullah dijadual menghadiri proses penamaan calon di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Meradong esok. – IQHWAN HAMDAN / JIWA BAKTI
