KANADA: Sarawak mahu menjalinkan kerjasama dengan Universiti British Columbia bagi menyediakan kursus dan program latihan bertauliah berkaitan perlombongan kepada rakyat di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, usaha ini dapat dilaksanakan menerusi institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Sarawak dengan Universiti British Columbia.
Menurut Awang Tengah, sebagai memperkasakan sektor perlombongan, Sarawak perlu mengambil pendekatan dengan mempelajari industri perlombongan terkemuka Vancouver.
Katanya, ia sangat penting memandangkan sektor perlombongan merupakan salah satu daripada enam sektor ekonomi utama di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
“Sarawak komited memajukan lagi sektor perlombongan, secara mampan dan bertanggungjawab mempercepatkan pembangunan sosioekonomi selaras dengan PCDS 2030,” katanya dalam kenyataan media.
Sebelum itu, beliau mengetuai delegasi Sarawak ke Institut Penyelidikan Mineral dan Perlombongan Bradshaw (BRIMM), Universiti British Columbia di Vancouver.
Semasa lawatan itu, delegasi diberi taklimat mengenai perkara berkaitan industri perlombongan di Kanada.
Turut hadir Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63, dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
