KUCHING: Festival Gastronomi ‘Nyamai Sarawak’ Edisi Hari Malaysia bakal berlangsung pada 13 hingga 15 September depan di Kampung Budaya Sarawak (KBS).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Dato Sri Nancy Shukri berkata, kemasukan ke KBS adalah percuma sepanjang festival selama dua hari tersebut.
“Festival ini akan mengetengahkan program yang akan membangkitkan bukan sahaja selera malah menyemarakkan keterujaan anda pada kepelbagaian jenis makanan.
“Pakar masakan serta chef yang akan menyediakan pelbagai resipi serta hidangan bufet gastronomi mega akan menyajikan makanan serta minuman yang mewakili hidangan terbaik Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada perasmian Festival Gastronomi Nyamai Sarawak 2024 Edisi Hari Malaysia di Kampung Budaya Sarawak di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, festival ini bukan sahaja menyajikan serta meraikan keunikan warisan dan keistimewaan gastronomi rentas etnik di Sarawak, malah menjadi simbol perpaduan pelbagai kaum di Sarawak dan Malaysia.
Beliau turut menyarankan agar keunikan kulinari dari etnik-etnik serta kawasan pedalaman Sarawak seharusnya ditonjolkan pada festival kali ini.
