PETRA ambil langkah keluarkan dua sungai tercemar pada kategori bersih

KUCHING: Kerajaan Persekutuan sedang berusaha bagi memastikan dua sungai di negeri ini dapat dikeluarkan daripada kategori sungai tercemar di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, sungai berkenaan ialah Sungai Miri dan Sungai Daro.

Katanya, usaha ke arah itu sedang giat dijalankan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

“Kementerian menyedari ada juga sungai-sungai lain tercemar di Sarawak berbanding kedua-dua sungai tersebut.

“Disebabkan itu, kita mengambil langkah untuk memastikan sungai tercemar berkenaan dikeluarkan daripada kategori sungai tercemar kepada sungai sederhana,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Festival Bot Naga di Surau Al-Ansar di sini, Taman Yen Yen hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, selepas itu, kedua-dua sungai akan dimasukkan dalam kategori sungai yang bersih. 
 
“Sekurang-kurangnya data itu kita ada dan dengan data itu, kita akan meneliti tindakan yang patut diambil untuk mengeluarkan sungai tercemar kepada kategori sungai sederhana,” katanya.

Beliau turut menambah, sungai di Sarawak semakin bersih kerana kementeriannya mengambil langkah drastik memastikan air dilepaskan ke sungai dibersihkan dahulu melalui pemprosesan dan perasingan.