Tafsiran perundangan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak dikaji

KUCHING: Perbezaan tafsiran perundangan bidang kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri melibatkan bidang kuasa ke atas sempadan maritim Sarawak kini sedang dikaji.

Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, tafsiran itu dalam peringkat kajian oleh Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Ini salah satu tafsiran yang perlu kita teliti. Oleh itu, jawatankuasa bersetuju untuk membawa tafsiran ini kepada Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 pada Julai ini.

“Majlis akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya semasa ditemui media pada Majlis Festival Bot Naga di Surau Al-Ansar, Taman Yen Yen di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, Sarawak
mempunyai perundangan sendiri berhubung sempadan maritim yang diwujudkan sebelum pembentukan Malaysia.

Bagaimanapun katanya, berikutan pengenalan Akta Pelantar Benua (APB) 1966 oleh Kerajaan Persekutuan, sempadan negeri menjadi terhad.

Dalam perkembangan berkaitan, terdapat beberapa perkara yang telah dipersetujui dan kini perlu mendapat kelulusan dan pengesahan berhubung isu pendidikan dan kesihatan di Sabah dan Sarawak.

“Perkara lain yang tidak dipersetujui perlu dibincangkan dengan lebih lanjut kerana ia mempunyai pandangan yang berbeza di peringkat persekutuan dan tafsiran di peringkat negeri.

“Jadi perkara itu perlu diteliti untuk menentukan apa yang patut dilakukan. Keputusan muktamad perbincangan akan dibawa dan ditentukan oleh Kabinet,” katanya.