KUCHING: Syarikat dari Kanada mengesahkan kawasan Bau di negeri ini masih banyak bahan galian emas.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ini walaupun perlombongan emas di Bau yang bermula sejak tahun 1800 sudah dihentikan pada 1997.
“Namun sekarang ada syarikat dari Kanada mengesahkan masih banyak emas di perut bumi Bau,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis ibadah korban di Surau Wakaf Taman Indah, Bandar Baru Samariang, di sini, hari ini.
Awang Tengah menjelaskan, nilai galian berharga yang ada di Sarawak boleh mencecah lebih RM1.25 trilion tetapi belum diterokai sepenuhnya.
“Ini termasuk emas, unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE), pasir silika berkualiti tinggi dan bauksit,”katanya.
Sehubungan itu beliau mengadakan lawatan ke Kanada minggu lalu bagi melihat dan mempelajari kaedah negara berkenaan membangunkan sektor perlombongan.
