Sarawak akan umum cara bantu kawal harga daging sapi

KUCHING: Kerajaan Sarawak bercadang membantu mengawal dan menurunkan harga daging sapi di negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ini khususnya ketika musim perayaan terutamanya Aidiladha dengan mewujudkan pusat penternakan sapi.

Namun, beliau enggan mengulas lanjut perkara tersebut dan akan diumumkan dalam satu tempoh yang akan diberitahu kelak.

“Saya mempunyai satu cara untuk tahun depan yang boleh mengawal harga sapi. (Perkara ini) akan saya umumkan kemudian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Korban Perdana yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Dewan Hikmah Petra Jaya di sini, hari ini.

Terdahulu, Wan Junaidi dan Abang Johari serta beberapa barisan kepimpinan tertinggi Sarawak yang lain juga berkesempatan menunaikan solat di Masjid Jamek Negeri Sarawak.

Hadir sama ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi serta Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha.