TORONTO: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengetuai rombongan Kerajaan Sarawak untuk lawatan penanda aras ke Lombong Emas Micassa.
Ia merupakan antara lombong emas terbesar dengan gred tertinggi di dunia di Kirkland, Toronto, baru-baru ini.
Pejabat Timbalan Premier Sarawak dalam kenyataan media pada hari ini memberitahu, lawatan itu bagi menanda aras amalan terbaik perlombongan emas yang dikendalikan oleh Agnico Eagle Mines Limited.
Sebaik tiba, rombongan diberi taklimat mengenai pengurusan kelestarian dan kriteria Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) selain berkongsi visi dan misi tentang perlombongan dan cara mereka mematuhi piawaian kemampanan industri.
Selain itu, rombongan Kerajaan Sarawak juga diberi taklimat mengenai protokol perlombongan iaitu ke arah perlombongan mampan iaitu program kemampanan yang diiktiraf di peringkat global yang menyokong syarikat perlombongan dalam menguruskan tanggungjawab utama alam sekitar dan sosial.
Semasa lawatan itu, delegasi turut melawat operasi perlombongan bawah tanah dan pengilangan emas yang memerhati pelbagai teknik dan teknologi canggih termasuk automasi dan pendigitalan untuk meningkatkan kecekapan, keselamatan dan kemampanan.
Perlombongan emas di Sarawak mempunyai sejarah panjang sejak tahun 1800-an yang kemudiannya dihentikan operasi pada tahun 1997 kerana harga pasaran yang rendah.
Berdasarkan anggaran tinjauan pemetaan, terdapat deposit emas yang berdaya maju secara komersial yang dianggarkan sebanyak 3.3 juta auns untuk dilombong.
Pada masa ini, sebuah syarikat Kanada yang tersenarai di Bursa Saham Australia sedang meneroka potensi emas di kawasan Bau sejak 2010.
Sementara itu, Awang Tengah dalam lawatan kerja tersebut mengalu-alukan pelabur dan syarikat ke Sarawak meneroka peluang khususnya dalam perlombongan emas.
Turut mengiringi Awang Tengah ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63, dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Syed Aman Ghazali, Peguam Besar Sarawak Datu Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak Datu Abdullah Julaihi dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak Datu Lester Matthew.
