Kritikan tidak lemahkan semangat Abang Johari majukan Sarawak

GEDONG: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan tidak gentar dan ambil kisah kritikan yang cuba menjatuhkan kepimpinan beliau.

Sebaliknya tegas beliau, suara-suara sumbang yang dilemparkan itu menjadikannya terus gigih bekerja keras untuk memajukan Sarawak bagi mencapai visi 2030.

Dalam hal ini, beliau turut mengingatkan rakyat Sarawak tidak termakan hasutan daripada pihak luar, sebaliknya terus fokus untuk bersama barisan kepimpinan di dalam Kerajaan Sarawak bagi membangunkan negeri ini.

“Memang ada orang yang cemburu dan dengki terutamanya pendapatan Sarawak sebanyak RM13 bilion.

“Pendapatan ini disebabkan kita kerja kuat. Rezeki tidak datang bergolek tapi datang daripada hasil kerja kuat,” katanya semasa berucap dalam Majlis Ngiling Bidai Daerah Gedong di RTC Munggu Lalang, Gedong hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong itu memaklumkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Munggu Lalang akan dinaik taraf bagi memberi keselesaan kepada penduduk.

Katanya, pertimbangan ini dibuat memandangkan kawasan tersebut masih belum mempunyai tempat yang luas untuk menganjurkan acara besar.

Hadir sama Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Dato Sri Mohd Naroden Majais, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Fazzruddin Abdul Rahman.