KUCHING: Tentera Darat Malaysia (TDM) Sarawak berjaya menyekat kemasukan enam pendatang asing tanpa izin (PATI) di Biawak, Lundu, hari ini.
Markas 1 Divisyen menerusi kenyataan berkata, anggota mereka di bawah formasi Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) menjalankan rondaan di Sektor Pos GABMA Biawak berdekatan lorong tikus dengan jarak lebih kurang 118 meter (m) dari sempadan Indonesia pada 4.10 petang.
Menurutnya, semasa rondaan tersebut, anggota rondaan terserempak dengan enam PATI yang berjalan daripada arah sempadan Indonesia.
”Hasil daripada penahanan dan pemeriksaan terhadap enam PATI dalam lingkungan 20 hingga 39 tahun itu mendapati kesemua PATI dalam perjalanan untuk bekerja di Malaysia.
”Selain itu, hasil pemeriksaan mendapati tiada barang terlarang serta berbahaya dijumpai.
”Anggaran nilai keseluruhan barangan yang diperiksa adalah berjumlah RM10,020
terdiri daripada wang tunai, telefon bimbit, beg dompet dan beg pakaian,” jelasnya.
Tambahnya, kesemua PATI dibawa ke sempadan negara untuk pengusiran manakala laporan polis juga telah dibuat di Balai Polis Lundu bagi menentukan tindakan pengusiran dibuat dengan betul mengikut peraturan semasa.
