KUCHING: Sebanyak 1,406 kes vandalisme terhadap kemudahan infrastruktur utiliti dan telekomunikasi dilapor pada 2023 membabitkan nilai kerugian RM20 juta.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, sektor telekomunikasi merekodkan sebanyak 1,079 kes dengan anggaran kerugian sebanyak RM15.8 juta.
Manakala, sektor bekalan elektrik merekodkan sebanyak 266 kes dengan anggaran kerugian sebanyak RM3.6 juta, katanya semasa berucap pada majlis pelancaran Kempen Pencegahan Vandalisme terhadap Kemudahan Utiliti dan Telekomunikasi 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melancarkan kempen berkenaan.
Menurut Julaihi, sektor bekalan air pula merekodkan 57 kes dengan anggaran kerugian RM244,000 dan sektor pengedaran gas sebanyak empat kes dengan anggaran kerugian sebanyak RM30,500.00.
Salah satu langkah pencegahan terbaik dalam mengawal jenayah vandalisme dan juga kegiatan peniaga barangan terpakai di negeri ini adalah melalui penguatkuasaan Akta Peniaga Sekenhand, 1946, katanya.
Beliau berkata, penguatkuasaan itu boleh dijalankan dengan kerjasama angensi berkaitan seperti melalui ‘Operasi Lusuh’ yang dilaksanakan Polis DiRaja Malaysia.
Di samping, katanya, aktiviti pemantauan dan operasi pemeriksaan berterusan oleh agensi penguatkuasa ke atas premis barangan terpakai adalah penting dalam memerangi jenayah vandalisme.
Tindakan terhadap mana-mana individu yang melakukan perbuatan vandalisme, katanya, boleh diambil di bawah Seksyen 426 Kanun Kesekasaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.
Di samping itu juga, tambahnya, di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan, mana-mana individu yang melakukan pencerobohan jenayah boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau dengan kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi menangani isu vandalisme dengan lebih berkesan, beliau berkata, kementeriannya mengambil inisiatif mewujudkan Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Kerja Anti Vandalisme di peringkat negeri Sarawak.
Jawatankuasa itu untuk merancang strategi dan program seperti penguatkuasaan, program kesedaran bagi mengekang serta mengurangkan jenayah vandalisme, katanya.
Kementerian, tambahnya, akan melaksanakan lebih banyak program bagi meningkatkan kesedaran dan memupuk budaya masyarakat yang prihatin dan bertanggungjawab menghargai aset utiliti dan telekomunikasi.
Ancaman vandalisme terhadap kemudahan utiliti dan infrastruktur telekomunikasi tidak boleh dipandang ringan, katanya.
Ini kerana katanya, ia boleh mendatangkan kesusahan kepada orang awam dan merugi kerajaan selain membahayakan keselamatan diri si pelaku seperti risiko renjatan elektrik.
