KUCHING: Kerajaan Sarawak akan berbincang dengan Peguam Besar Negeri untuk meminda undang-undang sedia ada supaya lebih ketat bagi mengawal jenayah kecurian utiliti di negeri ini, kata Premier Sarawak.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dengan penguatkuasaan undang-undang lebih ketat diharap dapat mengawal jenayah kecurian kabel dan logam yang berleluasa di Sarawak.
“Peranan peniaga barang terpakai juga amat penting kerana mereka seharusnya memastikan sumber barangan yang dibeli adalah dari sumber yang tidak mencurigakan,” kata semasa melancar Kempen Pencegahan Vandalisme Terhadap Kemudahan Utiliti dan Telekomunikasi 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Abang Johari menjelaskan, jika barangan yang dijual mencurigakan, peniaga barangan hendaklah melaporkan kepada pihak berwajib.
Sehubungan itu, beliau menggesa penduduk terutama ketua masyarakat bekerjasama dalam menangani kes kecurian kabel.
Menurut Abang Johari, undang-undang berkaitan kes vandalisme perlu diperketatkan lagi dengan mengenakan hukuman lebih berat terhadap pihak yang terlibat.
Kerjasama dalam memerangi jenayah vandalisme ke atas aset utiliti dan telekomunikasi yang mencatatkan kerugian sebanyak RM20 juta pada 2023 sangat dperlukan daripada semua pihak, tegas beliau.
“Kita akui memang sukar untuk menghapuskan vandalisme secara menyeluruh, tetapi kita perlu meneruskan kempen kesedaran ini dan inisiatif lain,” tambah beliau.
Vandalisme, katanya, bukan sahaja menyebabkan kehilangan dan kerosakan kepada harta benda kepada agensi utiliti dan telekomunikasi, tetapi juga menyebabkan gangguan perkhidmatan yang membawa kesusahan kepada masyarakat.
Malah mereka yang terlibat dalam aktiviti ini mungkin berdepan dengan risiko berbahaya sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa, katanya.
Perbuatan jenayah vandalisme, tegas beliau, telah membebankan agensi berkaitan kerana perlu menanggung kos bagi membaiki semula infrastruktur tersebut.
Bagi menangani isu vandalisme itu, katanya, ia memerlukan usaha bersepadu daripada semua pihak agar kemudahan utiliti dan telekomunikasi dapat memberi manfaat kepada generasi sekarang dan akan datang.
Adalah penting untuk mendidik masyarakat terutama kanak-kanak, pelajar sekolah dan belia tentang kesan serta implikasi negatif vandalisme, katanya dan menegaskan, rakyat negeri ini harus hidup dengan penuh disiplin.
GAMBAR:JABATAN PREMIER SARAWAK
