Batik lukis sentuhan Stanley Wan

BINTULU: Kesukaran mendapatkan bahan mentah tidak menghalang pengusaha batik lukis di Miri memajukan perniagaan.

Pengusaha batik lukis terbabit, Kaneth Legacy, Stanley Wan, 41 malah terus mendapat permintaan tinggi di Semenanjung dan turut mendapat tempahan membuat deco di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

“Sentuhan tangan saya sering kali digayakan oleh orang kenamaan pada acara-acara besar seperti yang berhormat dan ahli korporat,” katanya semasa Pesta Agro Sarawak 2024 di Lasar Kenyalang Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu di sini, hari ini.

Stanley yang juga lulusan Diploma Seni Kraf Batik di Institut Kraf Negara, Selangor pada 2011 sebelum ini bekerja di syarikat Kraft Holding Sdn Bhd di Institut Kraf Negara sebagai pereka batik pada 2012.

“Tidak lama selepas itu, saya cuba untuk membuka perniagaan sendiri sebagai pengusaha batik lukis sebelum berpindah ke Sarawak pada tahun lalu,” katanya.

Beliau kini meneruskan perniagaannya dengan menyewa sebuah kedai di Vista Perdana bandar Permy Jaya di Miri dan mendapat bantuan dan tunjur ajar dari Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bagi mengembangkan lagi perniagaan itu.

Namun, Stanley mengakui mendapatkan bahan mentah batik untuk perniagaan itu dari Kuala Lumpur kerana sukar mendapatkan bahan terbabit di Sarawak.

“Amat sukar mendapatkan bahan mentah batik di Sarawak, lebih-lebih lagi kenaikan kos seperti penghantaran dan pengangkutan, tiada cara lain kita terpaksa juga ambil dari Semenanjung,” katanya.

Selain itu, Stanley berkata beliau kini memfokuskan penghasilan corak batik lukis yang kontemporari iaitu reka bentuk yang diminati masa kini.

“Ada juga saya mendapat tempahan daripada pelanggan yang bercorakkan elemen batik Sarawak dan dalam masa sama saya campurkan elemen berunsurkan abstrak batik,” katanya.

Beliau juga merancang menghasilkan batik lukis dengan harga mampu milik di Sarawak dan membuka kelas atau bengkel batik lukis yang terbuka kepada sekolah dan agensi kerajaan serta memiliki galeri sendiri bagi menghimpunkan batik dihasilkannya.

Semua penghasilan batik lukis Stanley boleh dilihat di laman Facebook beliau ‘Kaneth Legacy’ dan sebarang pertanyaan atau tempahan bolehlah menghubungi beliau di talian (010-299 3044).