NREB pacu agenda pembangunan mampan Sarawak

KUCHING: Kejayaan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) dalam menjaga dan menguruskan alam sekitar mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam agenda pembangunan mampan di wilayah ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sejak penubuhannya 1 Febuari 1994, NREB menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam penjagaan alam sekitar.

Komitmen ini dibuktikan dengan pelbagai pencapaian baik di peringkat negeri dan antarabangsa menunjukkan usaha mereka diiktiraf oleh orang luar, jelas Abang Johari.

“Salah satu pencapaian NREB ialah kejayaan pelaksanaan sistem Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang telah memastikan projek pembangunan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, dengan pertimbangan sewajarnya terhadap kesan alam sekitarnya.

“Ini bukan sahaja telah melindungi ekosistem semula jadi kita tetapi juga telah memupuk budaya kemampanan dalam sektor perniagaan dan perindustrian kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Makan Malam sempena Ulang Tahun Ke-30 NREB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam tadi

Abang Johari menambah, kejayaan NREB dalam menjaga alam sekitar di Sarawak jelas terbukti apabila wilayah ini mampu mengekalkan kualiti alam sekitar yang baik selain tiada kejadian bencana alam sekitar yang besar walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan pembangunan pesat.

NREB melakar sejarah dengan mendapat pengiktirafan daripada ‘Malaysia Book of Records’ (MBOR) kerana berjaya memperoleh rangkaian kelab persekitaran sekolah terbesar di Malaysia.

Abang Johari turut menyampaikan Anugerah Pingat BAKTI kepada 13 kakitangan NREB yang menunjukkan prestasi cemerlang serta sijil penghargaan kepada tiga penerima terdiri daripada mantan Kontroler dan mantan Timbalan Kontroler NREB.

Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.