Geran RM1.18 juta untuk lima PPDK di Sibu

SIBU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meluluskan geran berjumlah RM1.18 juta kepada lima Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Bahagian Sibu tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, bantuan kewangan itu bagi memastikan program dan aktiviti harian PPDK berjalan lancar.

Katanya, ini termasuk program pemulihan dan pembangunan dengan penglibatan aktif keluarga serta masyarakat.

“Geran ini meliputi bayaran untuk
saguhati petugas termasuk caruman KWSP dan Perkeso, elaun pelatih, bayaran sewa premis dan utiliti,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Perasmian PPDK Permai Sibu, di sini, hari ini.

Nancy berkata, elaun pelatih PPDK di Sarawak telah meningkat sebanyak 19 peratus iaitu RM2,247,023 tahun ini bagi menampung peningkatan kadar elaun itu dari RM150 sebulan kepada RM300 sebulan.

Menurutnya, geran kerajaan kepada sebanyak 55 PPDK di Sarawak tahun ini berjumlah RM13,774,230.