SIBU: Program Advokasi Kanak-Kanak:Kasih Kanak-Kanak merupakan landasan penting untuk perkongsian mengenai perlindungan serta hak kanak-kanak.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, kanak-kanak berhak untuk mengetahui hak mereka sebagai kanak-kanak.
“Sebab itu kita bersama dengan polis dan pihak berkaitan terutama yang menjalankan penguatkuasaan undang-undang untuk melindungi kanak-kanak.
“Di situlah kita memberi peluang kepada kanak-kanak mengetahui apa yang perlu dilakukan apabila berlaku sesuatu pada dirinya atau orang lain yang mereka kenali,” katanya selepas merasmikan program tersebut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Sibu, hari ini.
Dalam ucapannya, Ahli Parlimen Sentubong itu berkata, penganjuran program tersebut bertujuan meningkatkan kefahaman kanak-kanak tentang situasi kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.
“Program ini juga memberi pendedahan kepada kanak-kanak tentang tindakan yang boleh diambil oleh ibu bapa, penjaga, kanak-kanak sendiri atau komuniti apabila terlibat dengan kes tersebut,” katanya.
Katanya, masyarakat harus tahu apa yang perlu dilakukan jika ada kanak-kanak yang mengalami penderaan atau pengabaian.
“Jika melihat sesuatu yang mencurigakan, laporkan segera kepada polis atau Talian Kasih di 15999. Jangan hanya rakam video untuk media sosial, tapi laporkan kepada kami,” ujar beliau.
