BINTULU: Kelab dart tempatan diharap dapat menganjurkan pertandingan sukan berkenaan lebih besar selepas Pertandingan Dart Terbuka Bintulu 2024.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee berkata, ini kerana pertandingan dart terbabit memberi asas kukuh untuk Bintulu berkembang menjadi hab sukan dart di masa depan.
“Saya berharap agar kelab tempatan dan badan bukan kerajaan (NGO) akan bekerjasama menganjurkan pertandingan dart yang lebih besar nanti,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penutupan Pertandingan Dart Terbuka Bintulu 2024 di sini, semalam.
Iskandar berkata, pertandingan
terbabit membuktikan bahawa Bintulu mampu menarik penyertaan bukan sahaja dari seluruh Malaysia malah dari Brunei.
Pertandingan berkenaan disertai 120 pasukan dari Brunei, Labuan, Semenanjung dan Sarawak.
Ia dianjur Kelab Sukan dan Rekreasi Kampung Baru dengan kerjasama Ezy Darters Bintulu.
