Peraturan Majlis Mesyuarat Persidangan Parlimen, DUN perlu dipinda

KUCHING: Peraturan Majlis Mesyuarat bagi Persidangan Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu dipinda mengikut kesesuaian masa terkini terutamanya dalam menghadapi ledakan era media sosial.

Menurut Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, kebanyakan peruntukan dalam Peraturan Majlis Mesyuarat tidak meliputi fenomena baharu termasuk media sosial.

Ujarnya, perkara-perkara baharu seperti media sosial tidak disebut dalam Peraturan Majlis Mesyuarat sama ada Parlimen mahupun DUN Sarawak.

“Biarpun Peraturan Majlis Mesyuarat yang paling komprehensif dari DUN Sarawak, ia tetap tidak menyebut bagaimana membuat keputusan mengenai media sosial,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media sempena Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Speaker-Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Se-Malaysia Tahun 2024 di Bangunan DUN Sarawak di sini, hari ini.

Jelasnya, perkara utama pindaan ini adalah mengenai catatan media sosial terutamanya daripada Ahli Parlimen mahupun ADUN yang mengkritik dan memperkecilkan keputusan Speaker.

Tegasnya, apa yang dibincangkan dalam Parlimen mahupun DUN harus terkawal, tersusun dan dalam lingkungan Peraturan Majlis Mesyuarat.

“Kalau media sosial mengkritik Parlimen, Speaker dan memperkecilkan keputusan Speaker, perkara ini tidak ada dalam Peraturan Majlis Mesyuarat,” katanya lagi.

Sehubungan itu katanya, beliau akan membentangkan perkara itu ketika Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan DUN Se-Malaysia 2024 dengan membawa kertas kerja mengenai pindaan pindaan kepada Peraturan Majlis Mesyuarat.

Jelasnya, perkara ini perlu dibincangkan bersama dengan speaker-speaker bagi mendengar pendapat mereka untuk kebaikan demokrasi berparlimen.