Sarawak tidak berniat mencabar perlembagaan persekutuan

KUCHING: Sarawak sekali lagi menegaskan tidak berniat untuk mencabar Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya hanya mahu menuntut hak miliknya berlandaskan apa yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan tuntutan yang telah ditunaikan Kerajaan Persekutuan setakat ini untuk memperakui dan menjunjung hak serta keistimewaan yang dijanjikan dalam MA63 semasa penubuhan negara Malaysia.

Tegasnya, tuntutan Sarawak bertunjangkan kepada MA63 yang kekal sebagai asas kesatuan wilayah ini. Perjanjian ini direka bentuk untuk memastikan kedudukan dan hak unik Sarawak dalam Malaysia dipelihara dan dihormati.

Jelas beliau, MA63 tidak direka untuk melemahkan Persekutuan tetapi untuk mengukuhkannya.
“Langkah kami baru-baru ini dalam menguruskan sumber asli kami adalah selaras sepenuhnya dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Sarawak jauh daripada melampaui batasnya dan kini sedang melaksanakan kuasa yang telah diberikan perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Se-Malaysia 2024 di Bangunan DUN hari ini.
Abang Johari menambah isu pengurusan sumber asli seperti minyak dan gas di perairan negeri ini sudah termasuk dalam hak yang diiktiraf di bawah Perlembagaan dan Sarawak berhak untuk mempertahankan autonominya dalam rangka kerja di peringkat Persekutuan.

“Hak Sarawak ke atas pelantar di perairannya berakar umbi dalam preseden sejarah dan undang-undang, terutamanya Perintah Sarawak (Pengubahan Sempadan) dalam Majlis 1954 di mana perintah ini mengiktiraf kedaulatan Sarawak ke atas pelantar benuanya, mengukuhkan kuasa negeri kita ke atas sumber luar pesisirnya.

“Dengan menegaskan hak-hak ini, Sarawak sama sekali tidak cuba untuk mengurangkan kuasa kerajaan Persekutuan tetapi sebaliknya menyumbang kepada kekuatannya dengan memastikan Sarawak dapat membangunkan sumbernya secara bertanggungjawab dan mampan,” tegas beliau lagi.

Dalam ucapannya juga, beliau berkata menjadi hasrat Sarawak untuk bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dalam menjadikan Malaysia kuasa yang ‘menggerunkan’ di rantau Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan seterusnya.

Hadir sama Yang di-Pertua Dewan Negara Senator Dato’ Awang Bemee Awang Ali Basah, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Dato Johari Abdul, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker-Speaker Parlimen dan DUN Se-Malaysia, Menteri Persekutuan dan Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.