LAWAS: Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong menzahirkan kebimbangan terhadap kekosongan jawatan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) dan dua pengetua di dua sekolah menengah di daerah berkenaan.
Beliau berkata, kekosongan jawatan PPD dan dua pengetua itu perlu diisi segera bagi memudahkan operasi sekolah-sekolah di daerah ini.
“Kekosongan jawatan PPD Lawas telah lama kosong termasuk dua sekolah menengah yang juga tidak mempunyai pengetua,” katanya selepas menghadiri majlis pembukaan rasmi Pejabat Pendidikan Daerah Lawas yang baharu di Banting di sini, baru-baru ini.
Perasmian itu dilakukan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak Kementerian Pendidikan peringkat negeri Sarawak dan persekutuan dapat memberi perhatian serius terhadap perkara ini.
“Selain itu, kita juga berdepan isu tidak ada pengetua di SMK Trusan dan SMK Sundar, maka kita mohon dipercepatkan urusan ini,” katanya.
Henry Sum meluahkan kebimbangan itu kerana isu pendidikan adalah perkara penting dan asas melahirkan modal insan untuk wilayah Sarawak dan negara amnnya.
“Kita bimbang sebab dua sekolah menengah di Lawas tidak ada nakhoda dan jika dilihat kesannya ke atas pelajar sekolah,” tambahnya.
Beliau akan membuat susulan untuk mendapat jawapan daripada Menteri Pendidikan agar isu pendidikan di luar bandar seperti Lawas dapat diberi perhatian setara dengan kawasan lain di negara ini.
