MUKAH: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak akan menubuhkan Kolej Islam Teknikal bagi mendidik dan mengangkat kedudukan anak-anak Islam di negeri ini.
Beliau berkata, kolej itu akan memberi peluang kepada anak-anak Islam melaksanakan ajaran Al-Quran, ilmu dunia dan mempelajari ilmu akhirat.
Ini akan meningkatkan martabat agama Islam supaya dihormati oleh orang lain dan menjadi contoh bagi keseluruhan dunia, katanya pada Majlis Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak di Dataran Setia Raja di sini.
Hadir sama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Menurut Premier Sarawak, umat Islam dikehendaki menjalankan tugas dan mengekalkan kehidupan dan menaik taraf kedudukan melalui pendidikan yang baik selari dengan dasar ‘muraqabah’ dalam kehidupan seharian.
Dasar pemerintahan di Sarawak, katanya, menyemarakkan tanggungjawab untuk mengekalkan keharmonian hidup sesama masyarakat.
“Kerajaan Sarawak menumpukan usaha menjaga alam sekitar bersama usaha membangunkan negeri ini ke arah negeri yang lebih baik,” ujarnya lagi.
Tun Dr Wan Junaidi bersama Toh Puan Fauziah kemudian mengetuai perarakan yang turut diiringi Premier Sarawak serta dif-dif kenamaan yang lain.
Sebanyak 122 kontinjen membabitkan 5,309 peserta daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan serta swasta menyertai perarakan sepanjang tiga kilometer (km) itu.
