Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam contoh terbaik aspek kehidupan

KUCHING: Umat Islam disaran memperkukuh ilmu dan kecintaan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan mengamalkan sunnah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar⁣ berkata, menelusuri sirah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kelahiran baginda merupakan satu nikmat dari Allah bagi umat manusia.

“Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam membawa sinar cahaya kebenaran yang membebaskan manusia dari belenggu kejahilan.

“Selain itu, kehadiran baginda bukan sahaja telah membawa sebuah sistem beragama yang suci dan luhur, bahkan baginda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam merupakan contoh terbaik dalam semua aspek kehidupan.

“Pada kesempatan ini, saya juga ingin mengajak semua umat Islam menggunakan kesempatan ini untuk memperkukuhkan ilmu dengan nilai adab dan keperibadian mulia seperti Rasulullah junjungan kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan Maulidur Rasul 1446H kepada seluruh umat Islam khususnya di Sarawak.