Kerajaan Sarawak contohi Piagam Madinah dalam urus tadbir

LAWAS: Kerajaan Sarawak menolak fahaman ekstrim bagi memastikan perpaduan rakyat berbilang kaum terus terpelihara.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, langkah ini dilaksanakan dalam urusan pentadbiran Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Kita memerintah dengan mengambil contoh Piagam Madinah dalam urus tadbir kerajaan kita yang berkaitan dalam semua aspek dari segi hubungan sosial, ekonomi, perpaduan dikalangan masyarakat kita,”
katanya.

Beliau berkata demikian pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Lawas di Taman Awam Lawas di sini.

Turut mengiringi Awang Tengah dalam perarakan itu ialah Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa dan Pengarah NRDA Datu Ubaidillah Latip.

Tokoh Maulidur Rasul 2024 ialah Awang@ Ibrahim Ahmad ( kategori lelaki) dan Suriah Jinin (wanita) dan pemenang pertandingan sepanduk iaitu Persatuan Guru-guru KAFA Lawas manakala kategori perarakan kontinjen dimenangi Masjid Darul Iman Kampung Punang, kategori masjid dan surau dimenangi Kampung Sualai, kategori sekolah disandang SK Agama(MIS) Lawas dan kategori jabatan kerajaan dimenangi Pejabat Pendidikan Daerah Lawas.