KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini giat melaksanakan kajian terperinci mengenai strategi penstabilan harga barangan di Sarawak, Sabah dan Labuan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kajian itu dijangka selesai pada penghujung tahun ini.
Menurutnya, hasil kajian itu kelak akan dibentangkan untuk pertimbangan Jawatankuasa Penstabilan Harga di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Perkara tersebut dinyatakan oleh beliau dalam kenyataan media berhubung penstabilan harga barang di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Terdahulu, beliau menghadiri
Mesyuarat Jawatankuasa Penstabilan Harga di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan di Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Turut hadir pada mesyuarat itu adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali serta Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah, Datuk James Ratib.
Mesyuarat itu turut membincangkan isu dan cabaran penstabilan harga barangan dan perkhidmatan di tiga wilayah tersebut.
Selain itu, turur dibincangkan beberapa strategi khususnya bagi mengurangkan kos logistik bagi barangan import serta keperluan untuk membangunkan industri pengeluaran makanan dan bahan binaan.
Kerjasama strategik Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, Sabah dan Labuan untuk melaksanakan inisiatif pengeluaran makanan ternakan bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan import turut dibincang.
“Dalam pada itu, jawatankuasa juga bersetuju agar penglibatan sektor swasta dan masyarakat untuk memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan mampan untuk kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
