Para SUKMA XXI: 25 bas RapidKL diguna

KUCHING: Sebanyak 25 bas RapidKL yang mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) tiba di sini bagi kegunaan atlet dan pegawai temasya Para SUKMA XXI Sarawak mulai 20 hingga 28 September ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, perkhidmatan bas ini percuma atau tanpa melibatkan sewaan disediakan Rapid Bus Sdn Bhd sebagai rakan rasmi pengangkutan temasya itu.

Katanya, bas terbabit disertai seramai 44 pegawai dan petugas dari syarikat itu termasuk 30 kapten bas serta 14 kakıtangan sokongan telah tiba, di sini 13 September lalu.

“Kos penghantaran ditanggung Kerajaan Sarawak sebanyak RM845,000 dari Pelabuhan Klang ke Pelabuhan Kuching dan balik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dan Dry Run Bas RapidKL sempena Temasya Para SUKMA XXI Sarawak di sini, hari ini.

Fatimah berkata, bas tersebut dilengkapi dengan kemudahan mesra OKU, termasuk ramp dan ruang khas untuk kerusi roda. Ia akan menghubungkan tempat penginapan atlet ke venue pertandingan, majlis perasmian dan majlis penutupan dan lokasi-lokasi lain temasya.

“Selain itu, semua bas ini telah melalui pemeriksaan keselamatan yang ketat sebelum penghantaran dan akan terus dipantau untuk memastikan kualiti perkhidmatan yang terbaik sepanjang temasya,” tambahnya.

Menurutnya, pihak RapidKL juga akan menggunakan applikasi Rapidbus KIOSK yang membolehkan pihak jawatankuasa pengangkutan temasya itu dapat menjejaki lokasi bas dalam masa nyata.

“Selain daripada 25 RapidkL, terdapat 37 bas, 79 van, 19 SUV, 20 kereta dan 10 lori akan digunakan sepanjang temasya,” tambahnya.