Dewan Suarah Sibu boleh diubah suai

SIBU: Menteri Kebudayaan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mencadangkan sekurang-kurangnya Dewan Suarah Sibu boleh diubahsuai sebagai venue menganjurkan acara kesenian lebih meriah.

Beliau berkata, dengan memiliki venue sesuai, pihak penganjur mempunyai ruang mempamer seni persembahan lebih menarik dan tidak perlu bimbang tentang cuaca.

Jika pusat seni persembahan yang sempurna tidak dapat dibina di sini, sekurang-kurangnya dewan suarah boleh diubah suai, katanya merasmikan Festival Tarian Antarabangsa Sibu (SIDF) Edisi Ke-10 di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa di sini malam tadi.

“Masyarakat setempat harus membuat permintaan jika mahu kemudahan seperti itu dibina di Sibu.

“Kita memerlukan infrastruktur seperti ini untuk mempamerkan seni persembahan dan bakat anak tempatan,” katanya.

Karim berkata, beliau tidak mengatakan persembahan di kawasan lapang (Dataran Tun Tuanku Bujang) tidak baik.

“Tetapi sudah tentu, faktor seperti hujan boleh menjejaskan kualiti persembahan.

“Sebagai contoh, semasa saya menghadiri Festival Kebudayaan Borneo (BCF) di sini, hujan turun. Hujan menghalang penghibur daripada mengekspresikan diri sepenuhnya,” katanya.

Kerajaan Sarawak, tegas beliau, sedang mengubahsuai bangunan lama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun untuk dijadikan sebagai pusat seni persembahan