LAWAS: Petronas diharap membantu menaik taraf Klinik Kesihatan Sundar yang amat diperlukan hampir 10,000 penduduk bagi mendapatkan rawatan di daerah kecil Sundar/Awat-awat di sini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, klinik dengan bangunan kecil serba uzur terbabit menerima dan merawat purata seramai 50 hingga 100 orang sehari.
“Ramai (dapatkan rawatan di klinik), jadi mana yang perlu dibantu, bantulah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program memacu kehidupan penyerahan keperluan perubatan asas klinik desa di Klinik Kesihatan Sundar Lawas anjuran Petronas dengan kerjasama SABATI, di sini, hari ini.
Beliau menegaskan Petronas merupakan rakan kerjasama syarikat petroleum Sarawak iaitu Petros dan turut dilihat aktif menjalankan program kemasyarakatan dan kebajikan menerusi program CSR.
Sementara itu Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong memberi jaminan akan membawa masalah dihadapi Klinik Kesihatan Sundar kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Setakat ini kita telah masukkan senarai Klinik Kesihatan Sundar, Klinik Kesihatan Trusan dan Klinik Kesihatan Merapok untuk dibangunkan semula selain dibaik pulih,” katanya.
Hadir sama Pengurus Besar Petronas Sarawak Nirazibah Mohd Rabu, Timbalan Presiden SABATI, Dato Hajah Dayang Morliah Datuk Awang Daud.
