Sarawak cadang tubuh entiti bersepadu urus aset, pelaburan

BANDAR SERI BEGAWAN: Kerajaan Sarawak sedang mempertimbangkan penubuhan sebuah entiti bersepadu seperti yang dilaksanakan di negara-negara maju bagi pengurusan aset dan pelaburan kerajaan.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, beliau telah mengarahkan kajian dijalan oleh pakar bagi menilai kebolehlaksanaannya bagi meningkatkan hasil kerajaan dalam jangka masa panjang.

Pada masa ini katanya, pelaburan Sarawak berada di bawah Sarawak Incorporated, manakala Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak (SSWFF) telah beroperasi dengan suntikan modal permulaan sebanyak RM8 bilion.

Menurutnya, modus operandi entiti seumpamanya berfungsi seperti yang terdapat di negara maju lain seperti Temasek Holdings dan Government of Singapore Investment Corporation (GIC) di Singapura, Mubadala Investment Company di Emiriah Arab Bersatu (UAE), China Investment Corporation dan Japan Investment Corporation.

“Semua aset kerajaan yang dipegang pelbagai badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan seperti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Sarawak Energy Bhd dan PETROS akan disatukan di bawah satu entiti ini dan dikendalikan seperti mana-mana badan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan penutupan program One Team Retreat (OTR) 2024 hari ini.

Premier Sarawak menjangkakan model pengurusan aset dan pelaburan ini akan menyediakan suasana yang kondusif bagi ‘mobiliti’ profesional sekali gus memastikan badan-badan tersebut diurus dengan baik.

“Model ini juga akan membolehkan penetapan imbuhan pada tahap yang tinggi dan setanding dengan negara maju,” tambahnya lagi.

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta menteri-menteri kabinet dan ketua-ketua jabatan Kerajaan Sarawak yang lain.