Program subsidi tambang bas RM1 diterus, laluan tidak lebih 40km

KUCHING: Program Subsidi Tambang Bas Kadar Rata RM1 diteruskan bermula 1 Januari lalu dengan subsidi kini terhad kepada laluan tidak melebihi 40 kilometer (km).

Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, program subsidi akan dilaksanakan dengan kerjasama syarikat bas henti-henti sehingga 2025.

“Bermula 1 Januari 2024, kerajaan memulakan penguatkuasaan dasar program subsidi terhad kepada laluan tidak lebih daripada 40km. Subsidi ini akan memberi manfaat kepada rakyat terutama kumpulan B40,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan sesi dialog berhubung taklimat Semakan Semula Subsidi Tambang Bas Kadar Rata RM1 bersama agensi dan syarikat-syarikat bas di sini.

Lee menambah, semua isu yang dibangkitkan oleh syarikat bas telah diselesaikan secara baik menerusi sesi dialog berkenaan termasuk bersetuju dengan cadangan kementerian.

Terdahulu, Lee turut menerima kunjungan hormat Pengarah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak, Cornelia Wong.

Pada kunjungan itu, beliau telah memaklumkan kepada LPKP Sarawak mengenai beberapa isu di samping kedua-dua pihak berhasrat untuk mengadakan perbincangan berhubung potensi kerjasama, penambahbaikan dasar serta perkara berkaitan pelesenan pada masa akan datang.