KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan kontraktor bertanggungjawab diminta agar menyelesaikan masalah saliran perparitan di Jalan Rubber di sini segera.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Dato Ibrahim Baki berkata, ia perlu dilaksanakan segera demi meningkatkan keselamatan pengguna termasuk menaik taraf pembahagi tempat letak kereta di Jalan Nanas di sini.
“Usaha untuk menambah baik sistem perparitan dan keselamatan jalan raya untuk pusat komersial berhampiran Jalan Rubber dan Jalan Nanas sentiasa dititikberatkan malah juga di seluruh kawasan Satok,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian setelah mengadakan lawatan di Lorong Nanas 2 untuk meninjau masalah peparitan berhampiran tempat letak kereta di kawasan itu.
Tambah beliau lagi, perkara itu amat penting untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Pada masa sama, Ibrahim turut menzahirkan penghargaan kepada DBKU kerana memasang tiang isyarat berhampiran sebuah kedai di Jalan Rubber serta mengecat semula pembahagi jalan berhampiran di kawasan itu.
