KUCHING: Tuntutan pertambahan satu pertiga kerusi Parlimen Sarawak dan Sabah kemungkinan tidak sempat dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, ini kerana masih banyak proses dan prosedur yang perlu dilalui sebelum pertambahan kerusi Parlimen itu dapat direalisasikan.
Katanya, setakat ini tuntutan itu hanya sudah dilakukan kajian di peringkat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Kemudian (proses) diwartakan dibawa ke Parlimen untuk pindaan perlembagaan, mesti ada kelulusan perlembagaan. Oleh itu, sudah pasti ia belum sempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Lan Berambeh Petra Jaya Takaful Masok Kampung di Dewan Kampung Samariang Batu, di sini, hari ini.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, selepas kajian SPR, tuntutan itu sekarang dalam proses tafsiran perundangan dan pihaknya sudah menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara (JPN).
Katanya, ini bagi membolehkan jabatan berkenaan mengadakan perbincangan bersama Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah dan Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak.
“Ini kerana input dari ketiga-tiga pihak perlu bagi pelaksanan tuntutan itu.
“Kita bagi masa kepada mereka, diharapkan suku pertama tahun depan, kita akan panggil mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 untuk mendapat laporan daripada mereka,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menambahkata, proses seterusnya akan membabitkan pembentangan perkara berkenaan kepada kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan di kedua-dua negeri.
